Media Maklumat Media Maklumat - Informasi Viral
Dalam masyarakat Melayu sememangnya semua tahu tentang sihir santau atau tuju angin yang biasanya dihantar oleh seseorang kepada orang lain atas tujuan tertentu seperti cemburu, dengki, iri hati, nak musnahkan kehidupan orang lain, meracun musuh dan berbagai lagi. Ia juga dikaitkan dengan ilmu hitam yang diletakkan dalam makanan atau minuman.
Secara umumnya, ia dilakukan melalui dua cara iaitu cara santau angin dan juga fizikal yang mana melalui fizikal biasanya dengan cara meracun seseorang melalui makanan atau minuman. Dalam makanan pula akan dimasukkan seperti miang buluh, serbuk kaca, paku, besi karat dan bermacam lagi dengan niat untuk mencederakan mangsanya.
Kesemua bahan-bahan tersebut biasanya akan memasuki ke dalam perut mangsa dan tentunya akan melukakan bahagian dalam perut. Apabila seseorang itu termakan racun santau pastinya akan berlaku beberapa keadaan seperti muntah darah, pengsan, pitam dan lebih teruk lagi boleh membawa maut atau meninggal dunia.

Ada juga jenis santau yang hanya memerlukan bahan-bahan racun seperti serbuk kaca atau miang bulu diletakkan ke dalam seluar, baju atau kasut mangsanya sehingga menyebabkan mangsa akan derita menggaru sehingga melukakan kulit malahan ramuan tersebut juga boleh memasuki dalam saluran darah mangsa.
Walau bagaimanapun, santau agak sukar untuk mengesan siapakah yang menghantarnya dan siapakah yang sanggup melakukannya. Biasanya, ia dilakukan oleh seseorang yang mengenali mangsa. Oleh itu, anda disarankan untuk mengetahui tanda-tanda terkena sihir santau yang boleh membantu anda jika berdepan dengan masalah ini.
Tanda-tanda Terkena Santau Buatan Orang
Ada tiga jenis bahan utama yang sering digunakan untuk menyediakan racun santau. Bahan-bahan ini terdiri dari benda-benda gatal, miang, bisa dan pedih seperti yang dikongsikan oleh Ustaz Rahmat Rahman di laman Facebook.
Bahan bisa boleh diperolehi daripada bahan untuk membuat racun seperti air lipan bara, bisa ular senduk, bisa ular kapak, bisa katak puyu, ubur-ubur, bisa getah ipoh, buah kacang hantu, bisa akar-akar kayu dan sebagainya.
Bahan miang atau gatal seperti miang sembilu buluh, miang tebu, miang rebung, tali guni, ulat bulu yang masih hidup. Mangsa yang terkena santau ini selalunya akan merasa gatal di tekak, manakala badannya terasa bisa.
Bahan pedih yang melukakan akan menyebabkan mangsa merasa pedih apabila terkena santau. Bahan tersebut adalah kaca, mentol lampu, rambut, benang sutera, tali sabut, kuku manusia atau binatang, kelongsong telur ayam, bahan-bahan kotor daripada binatang yang telah mati seperti kulit lipas, lipan dan sebagainya.

Jika seseorang mempunyai ciri-ciri berikut maka beliau disyaki telah terkena santau:
- Batuk yang berlarutan, kadang-kadang batuk berdarah dan bernanah dan keluar debu-debu kecil seperti serbuk kaca.
- Istihadah yang berpanjangan bagi wanita sehingga satu hingga tiga bulan atau lebih.
- Sakit tulang belakang terutamanya pada waktu Maghrib dan malam Jumaat. Kadang-kala sakit menjadi-jadi semasa hendak masuk waktu solat Jumaat.
- Sakit sesak nafas terutaman waktu Maghrib.
- Lenguh seluruh anggota badan.
- Kuku menjadi hitam dan nafas menjadi busuk.
- Mimpi jatuh dari tempat tinggi.
- Mimpi bahan-bahan yang miang seperti buluh dan ulat bulu.
- Mimpi bermain dengan benda tajam seperti pisau dan sembilu.
- Mimpi kanak-kanak kecil seperti menyusu kanak-kanak tersebut.
- Mimpi binatang yang menakutkan seperti ular.
- Sentiasa sakit pada tulang belakang
- Bawah matanya biru (Seperti orang tak cukup tidur)
Jenis-jenis Santau
Santau Makan dan Minum
Ramuan santau dimasukkan ke dalam makanan atau minuman secara zahir oleh manusia atau pun secara ghaib dengan menggunakan khidmat jin (khadam). Mereka yang mengambil makanan atau minuman tersebut akan menjadi mangsa santau.
Santau Angin
Ramuan santau tuju angin yang dihantar kepada mangsa dari jauh, sama ada dengan teknik pemujaan atau pun teknik pandangan mata dengan melihat mangsa dari jauh. Bagi jenis santau ini, elemen makanan atau minuman adalah tidak diperlukan sama sekali. Ramuan santau akan dihantar dan dimasukkan secara ghoib ke dalam badan mangsa berkenaan (biasanya perut atau dada) dengan bantuan jin angin.
Santau Tuju
Santau tuju ini biasanya dilakukan oleh pengamal ilmu hitam bertaraf tinggi. Santau tuju ini adalah sangat kuat dan boleh membunuh mangsa dengan serta merta atau sekurang-kurangnya penyakit parah akan menyerang mangsa seperti muntah darah dengan serta merta. Santau tuju biasanya dilakukan di waktu selepas tengah malam dengan pemujaan ke atas pakaian, rambut atau barang peribadi pesakit.
Santau Langkah
Santau langkah dikenakan kepada mangsa dengan menanam atau meletakkan ramuan santau atau bahan lain seperti duit syiling atau apa-apa logam yang kecil yang telah dibacakan mentera jin dan syaitan, di pintu pagar rumah, bawah tangga rumah atau pintu pejabat. Mangsa yang melangkah barang tersebut akan menerima kesan sebagaimana orang yang terkena santau angin.
Santau Batuk
Santau batuk ini adalah peringkat awal mereka yang terkena serangan santau. Mangsa akan mengalami batuk yang berterusan walaupun telah banyak mengambil ubat batuk perubatan moden dan kadangkala diiringi dengan sakit kepala. Santau kadangkala tidak memberikan kesan yang serius seperti kerosakkan organ dalaman mangsa.
Ini berkemungkinan berlaku kerana tidak diizinkan oleh Allah SWT atau mungkin tukang sihir atau penghantar santau tidak melakukan penghantaran santau dengan sempurna mengikut kehendak jin dan syaitan berkenaan. Mangsa yang terkena santau batuk ini masih mempunyai harapan tinggi untuk disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan dan perubatan Islam yang segera dan cepat.
Rawatan atau Perubatan & Cara Merawat Santau
- Racun santau ini boleh dikeluarkan dengan menggunakan cara batin dengan keizinan Allah SWT.
- Membaca ayat-ayat Al-Quran khusus untuk sakit ini serta mohon doa kepada Allah SWT untuk sembuh dari penyakit ini.
- Minum air penawar dan madu lebah asli dan berdoa kepada Allah SWT untuk memohon sembuh dari penyakit yang dihadapi.
Baca : Sihir Pemisah Suami Isteri Jadi Benci Hampir Bercerai
Ayat dan Doa Penawar Racun Santau
Adalah lebih baik sekiranya anda berjumpa dengan pakar santau atau sebaiknya dengan mereka yang lebih arif tentang sihir ini seperti guru, ustaz, pengamal rawatan tradisional atau pusat rawatan Islam sebelum membuat amalan berikutnya.
1. Amalan Minggu Pertama dan Kedua:
- Surah Asy-Syu’araa’ ayat 95 hingga 118, baca 3 kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah SWT.
- Surah Fussilat ayat 25 hingga 38, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah SWT.
2. Amalan Minggu Ketiga dan Keempat:
- Surah Al-Israa’ ayat 79 hingga 94, baca 3 kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah SWT.
- Surah Taha ayat 60 hingga 70, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah SWT.
3. Amalan Minggu Kelima dan Keenam:
- Surah Al-Qasas ayat 51 hingga 59, baca 3 kali selepas solat Maghrib atau Isyak dan mohon doa kepada Allah SWT.
- Surah Ar-Ra’d ayat 30 hingga 34, baca 3 kali selapas solat Subuh atau waktu pagi dan mohon doa kepada Allah SWT.
Pokok Lemba Penawar Racun Santau
Selain cara merawat santau dengan menggunakan doa dan ayat Al-Quran, petua tradisional juga boleh dilakukan untuk elak sihir ini dengan menggunakan akar pokok lemba seperti yang dikongsikan oleh Tuan Md Rosdi Hassan melalui akaun Facebook miliknya.

Kalau masa kanak- kanak dulu, pokok inilah yang selalu akan dicari bila ikut ayah atau emak bila mencari kayu api di hutan, kerana pada waktu itu mana ada dapur gas dan boleh dikatakan semua orang kampung menggunakan dapur kayu untuk memasak.
Pokok yang saya maksudkan ini ialah pokok lemba, pokoknya seakan pokok kelapa sawit yang baru nak membesar dan banyak tumbuh meliar di dalam hutan. Saya gemar mencari pokok ini kerana buahnya sangat manis bila dimakan buah yang telah masak.
Bila saya membesar barulah tahu pokok ini sebenarnya banyak khasiatnya yang amat berguna kepada manusia kerana pada satu hari seorang lelaki yang terkena santau sehingga kulit wajahnya menjadi lebam kebiruan datang bertemu dengan ayah saya, lalu ayah menyuruh saya mencari pokok lemba katanya racun santau itu boleh ditawarkan dengan menggunakan akar dari pokok itu.
Akarnya perlu direbus terlebih dahulu sebelum air rebusan akar lemba tersebut diberikan minum kepada orang yang terkena santau. Tanpa membuang masa saya terus mencari pokok itu untuk merawat pesakit yang terkena santau itu.
Alhamdulillah, tidak beberapa hari lelaki itu datang bertemu dengan ayah dan mukanya tidak lagi menjadi lebam kebiruan serta darah tidak lagi keluar bila lelaki itu batuk dan waktu itu baru ayah bercerita pokok lemba sebenarnya dimakan oleh binatang yang bernama Jebon bila selesai bertarung dengan ular tedung, kerana untuk menawarkan racun ular yang mematuknya.
Baca : Doa dan Ayat Pendinding Diri Dari Sihir dan Gangguan Syaitan
Selain dari itu daun lemba juga boleh digunakan sebagai salah satu bahan untuk air mandian wanita selepas bersalin dan bayi bagi menghilangkan bau badan. Daunnya juga dijadikan campuran minyak urut untuk wanita selepas bersalin untuk disapu di kening dan perut.
Biasanya ia dimakan bersama pinang untuk merawat masalah pencernaan, gastrik atau dijadikan campuran ubat jamu. Akar pokok muda digunakan untuk merawat luka dalaman dengan cara merebusnya dengan air lalu diminum.
Manakala akar dan daun yang ditumbuk kemudian di balut pada tempat pula sendi dan otot untuk merawat masalah sengal-sengal tulang. Lemba juga mempunyai khasiat untuk menyembuhkan sakit kepala dan penyakit ulser mulut dengan memakan buahnya yang telah masak.
Jika anda pernah terkena sihir ini yang menyebabkan kehidupan anda menderita dan sekarang telah pulih sepenuhnya, anda digalakkan berkongsi pengalaman santau anda agar dapat membantu mereka yang turut terkena. Anda boleh kongsikan apakah penawar racun ini, bagaimana atau tanda ia keluar dari badan, pakar rawatan terbaik, doa atau surah Al-Quran tertentu dan sebagainya.
Semoga perkongsian maksud santau, tanda-tanda serta jenis-jenisnya berserta cara merawat yang dikongsikan akan dapat membantu anda yang sedang mencari info berkaitan dengan sihir ilmu hitam yang syirik ini. Sesiapa pun yang menghantar, dia telah melakukan satu dosa yang besar. Semoga bermanfaat.
Santau & Tanda-tanda Terkena Buatan Orang (Cara Merawat Santau) Sazarimma