Media Maklumat Media Maklumat - Informasi Viral
Zaman kanak-kanak adalah zaman yang paling seronok dalam hidup semua orang tanpa perlu memikirkan tanggungjawab, susah atau pun senang. Namun, itu semua tidak berlaku terhadap seorang kanak-kanak yang berusia 10 tahun yang dikenali sebagai Dang Van Khuyen.
Dang Van Khuyen yang berasal dari Vietnam itu kini menyara dirinya sendiri dan hidup sebatang kara tanpa ada ahli keluarga seperti ibu dan bapa yang menemani malahan tiada adik-beradik pun. Namun, dia tetap meneruskan hidup dengan caranya yang tersendiri.
Kisah yang menyayat hati sesiapa sahaja yang mengikuti perkembangan Dang Van Khuyen ini telah dikongsikan oleh Mothership yang menceritakan bagaimana kanak-kanak yang sangat kental ini lebih suka memilih untuk menyara diri sendiri serta turut menolak menjadi anak angkat seperti yang ramai tawarkan kepadanya.
Dang Van Khuyen Hidup Sebatang Kara Menyara Diri

Kisah tragis yang menyentuh hati ini bermula apabila ibu kandungnya meninggal dunia ketika dia masih kecil yang kemudiannya dia terpaksa tinggal bersama neneknya di kampung. Manakala, ayahnya dikatakan berkerja di bandar serta seringkali mengirim duit kepadanya setiap bulan.
Dang Van Khuyen juga turut bersekolah seperti kanak-kanak lain di kampungnya dengan menaiki basikal untuk ke sekolah. Walau bagaimanapun, kanak-kanak ini diuji lagi apabila ayahnya turut meninggal dunia kerana kemalangan di tempat kerjanya.



Apa yang sangat menyedihkan adalah Dang Van Khuyen dan neneknya tidak mempunyai wang yang cukup untuk membawa pulang jenazah ayahnya ke kampung halaman untuk disemadikan. Namun, dikhabarkan ramai yang turut membantu termasuklah kerajaan Vietnam yang sudi memberikan bantuan bagi membawa jenazah ayahnya pulang.


Lebih menyedihkan lagi setelah ayahnya meninggal dunia, neneknya pula menghembuskan nafas terakhir akibat sakit tua ketika Dang Van Khuyen memerlukan kasih sayang dan penjagaan daripada neneknya. Walau bagaimanapun, ada yang mengatakan kisah kanak-kanak ini mempunyai dua versi.
Ada berpendapat bahawa kanak-kanak ini ditinggalkan oleh neneknya seorang diri kerana berkahwin lain dan tinggal di kampung seberang berdekatan dengan kampung di mana kanak-kanak ini tinggal. Namun, kisah itu sebenarnya hanya rekaan semata-mata.


Akhirnya kisah sebenar terbongkar apabila diceritakan oleh sumber yang sahih dan memberitahu bahawa memang benar neneknya itu meninggal dunia kerana sakit tua yang telah dideritainya. Malahan, difahamkan ahli keluarga lain kanak-kanak tersebut turut ingin menjaganya namun dia memilih untuk hidup seorang diri di rumah peninggalan orang tuanya.
Sehingga kini Dang Van Khuyen hidup berdikari seorang diri dengan meneruskan hidup sambil berkebun serta turut dibantu oleh jiran-jiran yang mengasihaninya. Dia juga turut menanam ubi di kawasan rumah serta mencari pucuk buluh sebagai sumber makanan hariannya. Jiran-jirannya juga turut memberikan makanan kepada kanak-kanan berkenaan.


Menurut sumber, sebenarnya memang ramai yang ingin memberikan bantuan terhadap Dang Van Khuyen, namun dia menolaknya serta memilih untuk menyara dirinya sendiri selain turut menolak menjadi anak angkat sesiapa saja yang menawarkan untuk menjadi ibu bapa angkatnya.
Kanak-kanak hebat ini masih meneruskan persekolahannya seperti biasa malahan diberikan keistimewaan dengan dikecualikan daripada membayar yuran sekolah ekoran keadaannya yang hidup seorang diri dan ramai yang amat simpati dengannya selepas kisahnya viral di laman Facebook.
Kecekalan kanak-kanak hebat ini sememangnya pasti akan menginsafkan sesiapa sahaja. Dang Van Khuyen boleh dijadikan sebagai kanak-kanak contoh yang hidup berdikari dengan menyara dirinya sendiri tanpa menyusahkan sesiapa di sekelilingnya. Semoga kisah kanak-kanak ini menjadi pengajaran kepada kita semua.
Dang Van Khuyen Budak 10 Tahun Sara Diri Selepas Ayah & Nenek Tiada Iskandar Ariffin