Media Maklumat Media Maklumat - Informasi Viral
Adalah menjadi kewajipan dan tanggungjawab seorang anak untuk menjaga dan berbuat baik terhadap kedua orang tuanya malahan segala kebajikan serta keperluan ibu bapa mereka haruslah anak berikan disamping menjaga adab-adab ketika bersama mereka. Adakah anda sanggup menghantar ibu bapa anda ke rumah orang tua?
Hari ini ramai anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua atau rumah kebajikan dengan alasan tidak lagi mampu menjaga mereka kerana kesibukan kerja dan tiada cukup masa untuk menjaga mereka yang uzur itu memandang ibu atau ayah memerlukan perhatian yang penuh.
Sejak kita kecil lagi kita dibelai dengan penuh kasih sayang, diberikan pakaian, makan dan minum malahan dijaga dengan baik walaupun mak ayah bukan orang senang tetapi masih lagi mampu makan sehingga dewasa. Mereka langsung tidak meminta balasan atau mengharapkan ganjaran daripada seorang.

Oleh itu, kita sebagai anak, kita wajib berbuat kebaikan terhadap ibu yang melahirkan kita dan juga ayah yang menjaga kita sehingga kita berjaya pada hari ini. Tetapi, anak yang selama ini disayangi lebih suka menempatkan ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua, sebab?
Ada juga yang tergamak meninggalkan dan mengabaikan mak ayah mereka yang sakit dan uzur bersendirian di kampung tanpa menjenguk dalam jangka masa lama. Baginya kiriman duit bulanan itu sudah memadai untuk membalas segala jasa mak ayah selama ini.
Sebenarnya, seorang anak sangat dituntut oleh Islam untuk menjaga kedua-dua orang tua kita dengan baik serta wajib menjaga adab dan sopan sewaktu berdepan dengan mereka, malahan dalam Al-Quran juga ada menyebut dan menyentuh tentang ini.
Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
Maksudnya:
“Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.
Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
(Surah al-Isra’: 23)
Walau bagaimanapun, masyarakat kita pada hari ini sangat cepat menjatuhkan hukum terhadap anak yang sanggup hantar ibu bapa mereka ke rumah penjagaan orang tua. Bagi mereka anak sebegitu sangat kejam dan tidak berhati perut kerana berbuat demikian terhadap ibu dan ayah sendiri.
Sebenarnya, kita tidak tahu apakah punca-punca anak itu menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan atau penjagaan orang tua, mereka pasti mempunyai masalah tersendiri yang tidak diketahui. Malahan sesetengah rumah orang tua juga tidaklah seburuk seperti yang kita sangkakan.
Namun, ia tidaklah menjadi satu kesalahan besar jika seorang anak yang sibuk dengan kerjaya menghantar ibu bapa yang sakit ke rumah sebegini untuk sementara memandangkan mereka akan menghantar dan mengambil semula selepas berkerja.
Tetapi yang menjadi kesalahan adalah mereka yang seolah membenci, jemu atau tidak sanggup lagi menjaga ibu bapa sehingga menyerahkan hak penjagaan kepada rumah kebajikan untuk selama-lamanya. Ramai anak seperti ini di zaman sekarang umpama pepatah kacang lupakan kulit.
Hukum Menempatkan Ibu Bapa di Rumah Orang Tua
Jika anda pernah berniat untuk menghantar ibu bapa anda ke rumah kebajikan atau penjagaan orang tua, sebaiknya ketahuilah hukum hakamnya dan bacalah perkongsian daripada Mufti Wilayah Persekutuan ini yang berkongsi tentang Hukum Menempatkan Ibu Bapa di Rumah Orang Tua yang mana penerangannya sangat terperinci.
Isu menempatkan ibu atau bapa di Rumah Orang Tua, kami berpandangan bahawa ianya adalah harus dan dibolehkan jika sekiranya mereka menyukainya. Begitu juga jika layanan yang diberikan adalah baik dan tiada unsur penganiayaan terhadap mereka.
Kami nyatakan di sini beberapa dhawabit, antaranya:
- Hendaklah mendapat persetujuan daripada kedua ibu bapa dengan kesukaan dan kerelaannya.
- Tempat yang dikhaskan untuk kedua ibubapa mestilah begitu selesa dan juga menenangkan perasaannya.
- Makan minum yang disediakan hendaklah mencukupi dan bersesuaian dengan seleranya. Begitu juga penjagaan kesihatannya.
- Wujud layanan yang baik dan memuaskan dari pihak penempatan Rumah Orang Tua terhadap ibubapa.
- Sifat Rumah Orang Tua mestilah mesra kepada ibubapa.
- Adanya privacy serta penjagaan aurat yang baik.
- Semua keperluan daripada orang tua mencukupi termasuklah disediakan tempat ibadat yang selesa.
- Adanya tempat pengajaran dalam menambahkan ilmu.
- Para anak sentiasa menziarahi dan menyantuni orang tua dengan kerap.
- Semua tanggungan akan diselesaikan oleh anak-anak jika keadaan orang tua tidak mampu.
- Mempunyai khidmat rawatan kesihatan yang baik dan mesra kepada orang tua.
- Jika terdapat keperluan untuk menempatkan kedua ibubapa di Rumah Orang Tua dengan sebab terpaksa bermusafir dan tiada orang yang dapat mengendalikannya, maka ketika itu sebahagian ulama’ berfatwa adalah harus dengan syarat ibubapa tersebut menyukainya.
Namun sebaliknya jika kedua orang tua tidak redha dan tidak menyukai akan tindakan menghantar mereka ke Rumah Orang Tua, bahkan berlaku penganiayaan ke atas mereka, maka hukumnya adalah HARAM dan tidak dibenarkan sama sekali.
Apatah lagi jika anak hanya ingin melepaskan tangan dan tanggungjawab tanpa menziarahi serta memberi nafkah kepada orang tuanya. Hal ini adalah berdosa apabila perasaan orang tua tidak dijaga.
Hal ini adalah jelas berdasarkan apa yang telah kami kemukakan sebelum ini daripada nas-nas yang menunjukkan kepada kewajipan melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa serta tidak mengabaikan mereka.
Ingatlah pesanan Rasulullah SAW kepada kita sebagai renungan:
مَنْ أَحَبَّ أَنْ يُزَحْزَحَ عَنْ النَّارِ وَيُدْخَلَ الْجَنَّةَ فَلْتَأْتِهِ مَنِيَّتُهُ وَهُوَ يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، وَلْيَأْتِ إِلَى النَّاسِ الَّذِي يُحِبُّ أَنْ يُؤْتَى
Maksudnya: “Sesiapa yang suka diselamatkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka hendaklah datang kematiannya dalam keadaan dia beriman dengan Allah dan Hari Akhirat. Dia juga memperlakukan manusia sebagaimana dia suka manusia perlakukan kepadanya.”
Riwayat Muslim (1844)
Imam Nawawi berkata: “Ucapan Nabi “Dia lakukan kepada manusia sebagaimana dia suka manusia lakukan kepadanya” ini merupakan tanda jawami’ al-kalim bagi Rasulullah SAW dan betapa dalam serta indahnya hikmah-hikmahnya. Ini merupakan kaedah yang penting yang sepatutnya diberi perhatian dengannya. Justeru, seseorang hendaklah tidak berinteraksi dan memperlakukan kepada manusia kecuali apa yang dia suka mereka perlakukan kepadanya.”

Sebagai penutup, kami ingin menasihati mereka yang masih mempunyai kedua orang tua, berbaktilah kepada mereka sehingga sampai ke penghujung usia mereka. Kumpullah pahala sebanyak mungkin dengan cara melakukan perkara-perkara kebaikan terhadap mereka.
Seeloknya anak-anak sentiasa berpakat untuk menjaga orang tua mereka dan yang paling baik adanya giliran anak-anak serta saling berlumba-lumba untuk berbakti kepada orang tua.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ” . قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ” مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ ”
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.”
Riwayat Muslim (2551)
Begitu juga sabda Rasulullah SAW:
كُلُّ الذُّنُوبِ يُؤَخِّرُ اللَّهُ مَا شَاءَ مِنْهَا إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ إِلاَّ عُقُوقَ الْوَالِدَيْنِ فَإِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يُعَجِّلُهُ لِصَاحِبِهِ فِي الْحَيَاةِ قَبْلَ الْمَمَاتِ
Maksudnya: “Setiap dosa akan dilewatkan oleh Allah hukumannya mengikut kehendak-Nya sehingga hari kiamat kecuali derhaka kepada ibubapa. Maka sesungguhnya Allah akan menghukumkan kepada pelakunya semasa hidup sebelum kematian lagi.”
Riwayat al-Hakim (7263) dan al-Munziri (3/302)
Jelas daripada hadis-hadis ini betapa kita perlu merebut peluang dengan berbakti dan melakukan kebaikan jika masih memiliki ibubapa yang sudah lanjut usia. Betapa ruginya kita sekiranya kita tidak berusaha bersungguh-sungguh berbakti sedangkan mereka masih berada di sisi kita. Sebaliknya menderhaka kepadanya adalah jalan pintas untuk menuju kepada kecelakaan dalam kehidupan.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma:
رِضَاءُ اللَّهِ فِي رِضَاءِ الْوَالِدِ ، وَسَخَطُ اللَّهِ فِي سَخَطِ الْوَالِدِ
Maksudnya: “Allah redha dengan sebab redha kedua ibubapa dan Allah murka dengan sebab murka kedua ibubapa.”
Riwayat al-Tirmizi (1899), Ibn Hibban (429)
dan al-Hakim (7249)
Antara bentuk mencari keredaan kedua ibubapa ialah dengan mentaatinya, melayaninya, menyukainya, merahmatinya, memberi hadiah, memberi nafkah jika perlu dan juga melakukan apa-apa yang menjadi idaman dan kehendaknya. Inilah yang dilakukan oleh salafus soleh dalam mentaati kedua ibubapa.
Banyak buku berkaitan birrul walidain telah ditulis oleh para ulama’ yang mungkin kita dapat ambil manfaat serta iktibar dalam melayari kehidupan kita. Jarakkanlah diri kita daripada menjadi ‘tanggang moden’. Membaca sejarah Alqamah dengan ibunya amat menginsafkan kita.
Kami mengambil kesempatan di sini untuk mengesyorkan kepada pihak berkuasa dan juga NGO dan mereka yang terlibat secara langsung dalam pengurusan Rumah Orang Tua agar dipertingkatkan prasarana dan kemudahan yang bersifat “mesra orang tua” di samping segala bentuk layanan hendaklah sebagai layanan yang terbaik.
Ingatlah tanpa mereka tiadalah kita dan generasi kemudian. Justeru, mengakhiri dalam usia yang sudah dimamah, kita tinggallah sifat ihsan dan bir kebajikan kita kepada mereka sebagaimana yang disarankan oleh nas Ilahi.
Kami juga ingin merakamkan penghargaan dan syabas kepada pemilik rumah orang-orang tua yang bersifat world class dan sangat prihatin dari segi layanan kepada warga emas ini. Ini merupakan satu tanggungjawab sosial yang menjadi fardhu kifayah untuk warga emas yang kadang-kadang sudah kehilangan tempat bergantung dan tiada mempunyai anak-anak.
Akhir sekali, mudah-mudahan kita diberi kekuatan dan pertolongan oleh Allah SWT di dalam berbuat baik kepada kedua ibubapa kita sehinggalah mereka kembali ke pangkuan-Nya. Kami akhiri perbincangan ini dengan mengajak kita semua untuk sama-sama mendoakan kerahmatan dan juga keampunan kepada kedua ibubapa kita.
رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.”
(Surah al-Isra’: 24)
Wallahua’lam.
Akhukum fillah,
SS Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Baca : Hukum Suami Melarang Isteri Menziarahi Ibu Bapa Sendiri
Mulai sekarang anda pasti tahu dan faham apakah hukum menghantar ibu bapa ke rumah kebajikan orang tua. Oleh itu, ambillah keputusan yang betul berdasar hukum syarak yang telah ditetapkan agar tidak menjadi dosa.
Kepada anak yang masih berdegil dan menempatkan kedua ibu bapanya di rumah penjagaan orang tua dengan alasan tidak mampu menjaga mereka dan bosan dengan karenah mereka, ingatlah, anda juga akan menghadapi hari tua.
Dan apa yang anda lakukan sekarang diperhatikan anak-anak dan akibat tidak mustahil mereka akan berbuat perkara yang sama kepada anda satu masa nanti dengan menghantar anda ke rumah orang tua. Semoga bermanfaat dan sayangilah mak ayah kita selagi mereka ada dan jagalah mereka sepertimana mereka membelai kita dengan kasih sayang.
Hukum Anak Menghantar Ibu Bapa Ke Rumah Orang Tua (Kebajikan) Sazarimma