Media Maklumat Media Maklumat - Informasi Viral Berita Malaysia Masa Kini
PUBG atau Game PlayerUnknown’s Battlegrounds kini semakin dikenali dan menjadi kegilaan ramai remaja serta anak muda termasuk golongan mereka yang telah berumahtangga malahan pakcik-pakcik pun ada juga. Dek kerana ketagihan dengan permainan ini, ramai yang dikatakan telah mengabaikan tanggungjawab mereka.
Terbaru, seorang wanita turut meluahkan kekecewaannya terhadap suaminya sendiri yang dilaporkan telah terjebak dan juga ketagihan dengan permainan PUBG sehingga mengakibatkan kerja serta tanggungjawabnya dilupakan serta dilaksanakan dengan sepenuhnya.

Malahan yang amat menyedihkan, wanita yang sedang hamil empat bulan tersebut bersama anak pertamanya yang berusia tiga tahun turut ditinggalkan oleh lelaki berkenaan sejak bulan lalu kerana dikatakan tidak berpuas hati selepas teguran isterinya berkaitan dengan ketagihan suaminya terhadap PUBG.
Semoga perkongsian Akhtar Syamir ini akan memberikan pengajaran serta teladan kepada suami isteri di luar sana yang mungkin menghadapi masalah yang sama. Janganlah kerana permainan PUBG ini dijadikan penyebab terputusnya hubungan suami dan isteri sehingga bercerai berai, sayangilah keluarga anda.
Kerana Ketagihan PUBG Isteri Ditinggalkan

“Assalamualaikum. Saya telah ditinggalkan suami akibat PUBG. Bukan pengaruh rakan tetapi kerana adik beradik dia sendiri.
“Bisnes telah ditinggalkan terbengkalai angkara PUBG. Saya mengandung empat bulan dan anak pertama tiga tahun juga turut ditinggalkan.
“Kami sering bergaduh kerana PUBG. Dia juga selalu tak cukup tidur, marah-marah. Sekali dengan saya yang tengah mengandung emosi jadi gila.
“Kami kerap bergaduh kerana dia sangat susah bangun pagi angkara berjaga bermain PUBG. Dia tinggalkan saya kerana nusyuz selalu memarahi dan adik dia sendiri juga menghasutnya.
“Lebih sebulan kami tela ditinggalkan. Sakit demam kami anak beranak, terpaksa urus sendiri dan berdikari. Empat tahun saya tahan sabar tengok dia main game. Tapi sebelum PUBG, tidaklah seteruk ini. Tapi bila wujudnya game PUBG, semuanya berubah. Tambah lagi apabila adik dia datang.
“Tolonglah doakan dia kembali. Kalau boleh, nak je saya report tentang game ini,” luah wanita ini terhadap kepada Akhtar Syamir, penulis ini juga selalunya berkongsi tentang ilmu dan kisah rumah tangga yang dihadapi oleh orang ramai.
Akhtar turut mengulas berkaitan dengan kes rumah tangga berkenaan serta menegaskan, game sebenarnya tidak bersalah dalam hal ini tetapi ketagihan si suami yang keterlaluan itu yang menjadi punca masalah keretakan rumah tangga pasangan terbabit.

“Masih lagi anda tak percaya kebinasaan akibat ketagihan game? Berbaloi ke tinggalkan anak isteri demi permainan game?
“Game dan gaming itu tidak salah langsung, yang salahnya apabila anda ketagihan. Adakah jatuh nusyuz kerana isteri sering memarahi suami yang ketagihan game?
“Kenapa kita terlalu teruk dipengaruhi oleh game yang sepatutnya mendatangkan kegembiraan? Tetapi sebaliknya yang terjadi. Adakah jati diri kita ini terlalu lemah?
“Berhenti menyalahkan isteri apabila anda ketagihan. Jika anda kata isteri anda membosankan dan menjadi penyebab kepada anda untuk bergembira di dalam game, anda sebenarnya sakit mental dan perlukan rawatan.
“Keluarga ini, kita sebagai suami yang bentuk. Senget ke, lurus ke, bahagia ke tidak, kita yang tentukan. Bukan orang lain dan sudah semestinya bukan game! Cari cara untuk gembirakan keluarga, bukan lari dari masalah dan mencari kegembiraan di tempat lain.
“Jika anda rasa menghabiskan masa empat atau lima jam ke atas di dalam game setiap hari tatkala mempunyai anak dan isteri adalah sesuatu yang okey, berjaga-jagalah. Tidak lama lagi anda akan terjerumus ke lubang kesunyian yang amat gelap dan dalam tanpa sesiapa pun di sisi,” jelasnya lagi.
Memang tak dinafikan, masih lagi ada segelintir golongan isteri yang turut memberikan sokongan kepada suami untuk bermain dengan PUBG. Walau bagaimanapun, bagi Akhtar, isteri perlu berhati-hati dan jangan terjerumus sama sehingga menggalakkan ketagihan suami atau terpaksa menanggung kesannya di kemudian hari.
“Kepada isteri, jangan sama terjerumus dan menggalakkan ketagihan ini dengan bermain bersama. Anda hanya akan menjadikannya lebih teruk dan anak-anak anda yang akan menanggungnya.
“Kembalilah ke pangkal jalan. Institusi kekeluargaan kita hari ini semakin tenat. Kita sebenarnya di ambang kehancuran.
“Saya perlu ingatkan sekali lagi. Game dan gaming itu tidak salah, yang salahnya apabila anda ketagihan,” tegas Akhtar.
Oleh itu, kepada anda semua fahamilah apa yang Akhtar sampaikan kepada anda dan hargailah pasangan serta anak-anak anda. Jangan jadikan perkara sebegini seperti PUBG ini sebagai asbab untuk anda menghancurkan hubungan yang telah lama dibina atas dasar cinta dan kasih sayang, sesungguhnya ia amat merugikan. Semoga bermanfaat.
Isteri Hamil Kecewa Ditinggalkan Suami Yang Suka Gila Dengan PUBG Sazarimma